KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) akan melantik pakar pukulan sudut penalti bagi membantu skuad hoki kebangsaan yang dilihat gagal memanfaatkan peluang dimiliki dengan jaringan.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, pakar tersebut dari luar negara dan tempatan akan membantu ketua jurulatih, A Arulselvaraj khususnya dalam mengambil pukulan sudut penalti.
“Isu skuad hoki negara ketika ini adalah kegagalan jaringan dihasilkan menerusi pukulan sudut penalti yang diberikan kepada Malaysia.
“Kita dapat 14 pukulan sudut penalti tetapi satu pun tidak masuk, jika ini dapat diselesaikan mungkin keputusan akan berbeza sebaliknya.
“Pakar yang bakal dilantik ini adalah bekas pemain antarabangsa yang memiliki pengalaman (pukulan sudut penalti) dan akan Dilantin secara sambilan (part-time),” katanya pada sidang media memeterai perjanjian bersama rakan penaja baharu, hari ini.
Pada majlis tersebut KHM secara rasmi memperkenalkan Syarikat Shan Poornam Sdn Bhd selaku rakan penaja yang baharu.
Penajaan RM200,000 setahun untuk tempoh dua tahun dan penajaan yang diberikan khusus kepada skuad hoki negara.
Dalam perkembangan berasingan, Subahan turut memaklumkan KHM memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta peruntukan satu musim.
“Keperluan peruntukan ini bukan sahaja untuk skuad hoki kebangsaan terapi juga bagi skuad junior lelaki dan wanita negara.
“KHM akan serahkan permohonan dalam masa terdekat dan mengharapkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dapat mempertimbangkan permohonan tersebut,” tegasnya.