KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) bakal menganjurkan Kejohanan Hoki Bawah-16 Tahun Kebangsaan Lelaki dan Perempuan 2022 pada 15 hingga 25 Jun 2022, selepas dua tahun kejohanan ini tidak dianjurkan ekoran penularan wabak Covid-19.

Berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kejohanan ini menampilkan 13 pasukan lelaki dan 14 pasukan perempuan.

KHM juga telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) untuk menempatkan semua pemain dengan semua pasukan akan mula melaporkan diri pada 14 Jun.

Kerjasama ini juga bertujuan untuk memberikan para peserta yang semuanya adalah pelajar sekolah merasai sendiri pengalaman tinggal di universiti dan diharap ianya akan memberikan motivasi kepada pemain untuk turut berjaya dalam pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa pertandingan KHM, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu, menjelaskan kejohanan ini juga merupakan medan untuk barisan kejurulatihan mencari pemain-pemain terbaik yang mungkin akan diserapkan di dalam Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan di mana skuad ini merupakan skuad pelapis negara.

“Ini merupakan peluang keemasan untuk setiap pemain beraksi dengan sehabis baik dan barisan kejurulatihan akan melihat aksi mereka dari perlawanan pertama hingga akhir untuk menilai pemain yang boleh dipanggil menjalani latihan bersama pasukan remaja negara,” jelas beliau dalam sidang media.

Kategori lelaki dan perempuan akan dipecahkan kepada dua kumpulan di mana Kumpulan A bagi kategori lelaki diisi pasukan Perak, Pahang, Kuala Lumpur, Penang, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B pula diisi Selangor, Johor, Melaka, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak.

Bagi kategori perempuan pula, Kumpulan A dihuni oleh Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Johor, Perlis dan Kelantan manakala Terengganu, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Perak, Sarawak dan Sabah pula menghuni Kumpulan B.

Untuk rekod, penganjuran kali terakhir pada tahun 2019 di Kuantan, Pahang, menyaksikan Perak muncul juara kategori lelaki sementara kategori perempuan dimenangi oleh Pulau Pinang.