KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menggesa para pemain yang dipanggil untuk pemilihan skuad kebangsaan agar memberikan komitmen penuh dan mengetepikan alasan peribadi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, menegaskan bahawa komitmen dan fokus terhadap persembahan yang terbaik adalah penting dalam merealisasikan matlamat skuad kebangsaan.

“Saya tak nak dengar 46 pemain ini memberi alasan ada masalah peribadi itu dan ini.

“Ini merupakan peluang keemasan yang diberikan oleh Coach Sarjit, ambil dan manfaatkan peluang ini.

“Kita nak ambil pemain yang betul-betul nak berjuang untuk negara bukan pemain yang sering memberi alasan penat,” tegasnya dalam sidang media pada Selasa.

Menurut Najmi, beliau tidak mahu lagi pelbagai alasan peribadi menggangu persiapan pasukan sebagaimana berlaku dalam skuad sebelum ini

Beliau yang juga Timbalan Presiden KHM berkata demikian selepas pengumuman senarai pemain yang dipanggil bagi megikuti sesi latihan serta permilihan pasukan senior lelaki kebangsaan.

Seramai 46 pemain disenarai pendek, teramai dalam sejarah KHM bagi mengikuti latihan di bawah kendalian The Speedy Tigers yang baharu Sarjit Singh.

Faizal antara pemain senior yang dipilih oleh Ketua Jurulatih Negara, Sarjit Singh.

Antara pemain senior yang dipanggil ialah Faizal Saari, Azrai Aizad, Fitri Saari, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Marhan Jalil dan Hafizuddin Othman manakala yang tidak dipanggil antaranya Shahril Saabah, Razie Rahim dan Firhan Ashari.

Pemilihan 46 pemain ini berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh Sarjit Singh semasa Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 berlangsung.

Para pemain akan dikumpulkan dan akan memulakan latihan mereka pada 19 Mac.

“Latihan akan berlangsung selama 2 hingga 3 minggu sebelum barisan kejurulatihan akan mengumumkan senarai nama 30 pemain pada 1 April.

“30 pemain itu akan memberikan fokus mereka kepada dua kejohanan iaitu Piala Sultan Azlan Shah yang akan berlangsung pada bulan Mei dan Piala Negara-Negar yang akan berlangsung di Poland,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : “40 perlawanan antarabangsa jika mahu pertahan kejuaraan PSAS” – Sarjit

Daripada 46 pemain, 32 daripadanya merupakan pemain di bawah umur 25 tahun sekali gus menunjukkan keutamaan Sarjit Singh dalam skuad hoki negara adalah projek jangka panjang.

Antara pemain muda yang dipanggil ialah Mohamad Rafaizul Mohamad Sani, Danish Afnan, Muhamad Adam Ashraf, Khairil Hakimi, Azimuddin Syakir dan Eswaran George.

Sarjit Singh dilantik menjadi jurulatih hoki kebangsaan pada 3 Mac untuk membawa cabaran negara memburu pingat emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya yang menjanjikan slot ke Sukan Olimpik Los Angelas 2028.

Terdahulu, skuad hoki negara akan menyertai Piala Sultan Azlan Shah pada 4 hingga 11 Mei manakala Piala Negara-Negara akan berlangsung pada 30 Mei hingga 9 Jun.