KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) mahu lebih serius membentuk pasukan khas lima sebelah dan dalam dewan, sekali gus mengelakkan penggunaan pemain yang sama daripada hoki padang.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya merancang membentuk program khas untuk dua acara terbabit, dan akan meyakinkan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai perancangan itu.
“Kita akan pastikan ada atlet sepenuh masa, kalau hoki 5’s tu (pemain) hoki 5’s, dalam dewan tu (pemain) dalam dewan.
“Bagaimanapun bergantung kepada jurulatih pasukan juga, jika mereka berasakan perlu mengambil pemain dari hoki padang untuk memperkuat pasukan, tidak ada masalah kerana yang penting kita nak menang.
“Harapan saya untuk pasukan dalam dewan dan lima sebelah, kita akan cuba yakinkan MSN dan KBS untuk menghasilkan satu program sepenuh masa,” kata Subahan.
Beliau memberi contoh hoki dalam dewan yang akan terus berada dalam saingan Sukan Sea denagn menawarkan dua pingat emas, dan tidak mustahil selepas ini, saingan hoki lima sebelah akan turut dimasukkan ke dalam temasya sukan serantau itu.
“Saya dengan ada ura-ura hoki 5’s akan dimasukkan ke Sukan Sea, jika benar, menerusi hoki dalam dewan dan 5’s sahaja menawarkan empat pingat emas.”
Tambah beliau, selama ini, kebanyakan pemain hoki dalam dewan diperkuat pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang digabungkan dengan beberapa pemain hoki padang.
Dalam pada itu, Subahan berterima kasih kepada pihak KBS kerana sering membantu hoki dari segi kewangan dan sebagai pentadbir KHM, beliau dan pasukannya berazam meningkatkan lagi usaha mencari dana bagi memastikan hoki negara berada di tahap tertinggi di mata dunia.
Selepas kejayaan hoki 5 sebelah muncul naib juara Piala Dunia, skuad dalam dewan akan menggalas cabaran besar menghadapi saingan Piala Asia Dalam Dewan tahun ini, yang belum diumumkan tarikh penganjurannya.
Kejohanan Piala Asia Dalam Dewan itu bakal menjadi kelayakan untuk Piala Dunia dalam Dewan 2025.