KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) dan Kelab Diraja Selangor (RSC) akan menjalinkan kerjasama dalam menganjurkan Kejohanan Hoki Antarabangsa Veteran 9’s 2022 yang julung kalinya diadakan pada 18 hingga 20 November 2022 di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara.
Pada masa yang sama turut akan diadakan adalah Kejohanan Bawah 12 tahun dengan perlawanan akan dimainkan di padang rumput dan bukannya di padang jenis Astro Turf.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kejohanan ini adalah cetusan ideanya sejak memegang jawatan itu pada 2015 dan berharap kejohanan ini akan mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
“Idea ini tercetus sejak 2015 tentang bagaimana MHC mahu bekerjasama dengan kelab untuk menganjurkan kejohanan veteran.
“Ia akan memberi ruang dan peluang serta platform untuk veteran berusia 40 tahun ke atas untuk bermain hoki.
“Saya mempunyai satu harapan agar kejohanan ini dapat dianjurkan secara tahunan. Saya juga berharap agar FIH boleh memberi pengiktirafan kepada kejonanan ini seterusnya boleh diletakkan dalam kalendar FIH,” katanya pada Selasa.
Tambah Subahan, ada beberapa pasukan dari Australia dan Singapura turut menyatakan minat untuk menyertai kejohanan veteran terbesar di Malaysia ini.
Turut hadir pada sidang media itu adalah Timbalan Presiden KHM, Prof Datuk Dr. S. Shamala, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu, dan Pengerusi Penganjuran RSC Hoki 9s, Oommen Koshy.