MUHAMMAD Amirul Hamizan Azahar bakal meraih caps antarabangsa pertama bersama skuad senior kebangsaan, apabila disenarai dalam skuad yang menggalas cabaran di Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah bulan hadapan.
Amirul, 21, pastinya amat gembira terpilih selepas mengharungi episo tidak menggembirakan ekoran mengalami keretakan tempurung lutut pada 2020 dan patah kaki pada tahun lalu.
Flicker berbakat itu antara 18 pemain yang dinamakan oleh Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arul Selvaraj, menggalas cabaran di Ipoh, Perak.
Arul turut menamakan pemain pertahanan negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan sebagai kapten pasukan, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Muhammad Marhan Jalil yang mengalami kecederaan.
“Pemilihan 18 pemain ini dibuat berdasarkan kekuatan fizikal, yang difikirkan mampu mengharungi enam perlawanan dalam tempoh 10 hari.
“Nazmi menjadi kapten di atas padang namun di luar padang, kita mempunyai sekumpulan lapan pemain menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin pasukan,” kata Arul.
Seperti biasa, Arul mahu pasukannya fokus setiap perlawanan dan mengambil serius setiap cabaran dan menganggap setiap perlawanan adalah final.
Piala Sultan Azlan Shah akan membuka tirai 1 November ini hingga 10 November.
Skuad bimbingan Arul bakal berdepan cabaran daripada Afrika Selatan, Jepun, Korea Selatan, Pakistan dan Mesir.