PENYOKONG bola sepak tempatan sekali lagi dikejutkan dengan insiden melibatkan pemain bola sepak apabila mendapat perkhabaran rumah pemain pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee dipecah masuk.

Perkara ini dikongsikan sendiri pemain itu menerusi instastory miliknya yang turut memuat naik laporan polis yang telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Rabu.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Khuzaimi mendapati pintu pagar rumahnya sudah terbuka sebaik pulang dari menjalani latihan di Pusat Latihan SFC pada jam 9 malam.

Salinan laporan polis yang dibuat oleh Khuzaimi Piee

Sebaik memeriksa keadaan dalam rumah, Khuzaimi mendapati beberapa barang miliknya telah hilang termasuk sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna biru, empat beg silang pelbagai jenama dan pasport antarabangsa miliknya.

Pemain yang mesra disapa Jimmy itu kemudiannya meminta jasa baik orang ramai untuk membantunya mencari motosikal yang dicuri itu dengan boleh memberikan maklumat kepadanya atau hadir ke balai polis berhampiran.

Kejadian jenayah ini adalah kejadian jenayah terbaharu melibatkan pemain bola sepak kebangsaan yang sebelum ini dikejutkan dengan insiden yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.

Orang ramai dimohon membantu Khuzaimi mencari semula motosikal yang dicuri

Setakat artikel ini diterbitkan, masih belum ada sebarang kenyataan daripada kelab Selangor FC berhubung insiden ini.