TONGGAK pertahanan kental Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee akui teruja apabila namanya dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Dia yang baharu sahaja menamatkan kempen saingan Liga Super, tidak menyangka menerima panggilan berkenaan, sebagai persiapan pasukan Harimau Malaya menghadapi tiga aksi awal peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023.

“Rasa bersyukur sebab dapat panggilan skuad kebangsaan dan ianya agak terkejut juga bagi saya, sebab semua orang tahukan.

“Saya akan cuba bagi yang terbaiklah kepada jurulatih sebab masih memilih saya untuk mewakili pasukan dan Insya Allah akan bagi segala termampu untuk pasukan,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai The Red Giants dari Negeri Sembilan pada musim ini dengan status sebagai pertahanan paling menyerlah musim lalu.

Dia yang menjadi watak penting buat Harimau Malaya sejak tahun lalu bagaimanapun gagal meraih minit permainan yang diharapkan selain berdepan kecederaan ketika Piala AFF tahun lalu.

Ketika diajukan pertanyaan, adakah Khuzaimi merupakan ‘anak emas’ Kim Pan-gon selepas disenaraikan dalam skuad negara, dirinya enggan ambil pusing mengenai perkara itu.

“Perkara itu kita tak boleh nak fikirlah sebab takut boleh membawa satu benda yang tak eloklah bagi saya. Benda tu saya kena positif.

“Saya perlu fikir benda lainlah selain perkara perkara yang boleh membuat saya terganggu,” katanya.