MENJELANG kempen Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, minggu hadapan Tan Kian Meng tidak terlepas dari memikirkan masa depannya bersama Lai Pei Jing dalam program Road to Gold (RTG).
“Cabaran kami adalah diri kami sendiri, kami perlu atasi bagaimana nak memecah halangan ini.
“Pada awal tahun memang prestasi kami teruk tapi beberapa bulan lalu ada beza dan banyak peningkatan.
“Jadi saya harap review bukan berdasarkan results sahaja, prestasi semasa, ada improve ke tak perlu diambil kira,” kata Kian Meng, ditemui selepas latihan pemain profesional di Endah Parade.
Mengulas mengenai cabaran di Kejohanan Dunia bermula 21 hingga 27 Ogos ini, Kian Meng mengakui mendapat undian mudah di pusingan pertama apabila bakal berdepan Hussein Zayan Shaheed-Fathimath Nabaaha Abdul Razzaq dari Maldives, namun getir buat mereka kerana gandingan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran menanti di pusingan kedua.
“Pusingan pertama memihak kami tapi yang penting selepas itu, kali terakhir bertemu di Perodua Malaysia Masters, mereka kalahkan kami, harap dapat membalas dendam di Kejohanan Dunia.”
Berdasarkan rekod pertemuan dengan gandingan pilihan ke-12 Thailand itu, Kian Meng-Pei Jing menang dua kali daripada lima pertemuan.
Tiada sasaran khusus ditetapkan gandingan yang berada di ranking ke-21 dunia itu, melainkan mengatasi masalah dalam diri mereka sendiri.
Sepanjang tahun ini, Kian Meng-Pei Jing belum berjaya melangkah ke suku akhir di mana-mana kejohanan dan pencapaian terbaik adalah mara ke pusingan kedua.