GANDINGAN beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei teruja melangkah ke suku akhir siri jelajah dunia buat kali pertama tahun ini, namun enggan terlalu selesa dengan pencapaian itu kerana cabaran belum berakhir.
“Mara ke suku akhir pertama kami tahun ini amat bermakna tetapi tugas kami belum tamat kerana esok ada perlawanan besar dan amat penting,” kata Kian Meng kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas dia dan pasangannya melangkah ke suku akhir Terbuka China, di Changzhou.
Dalam aksi pusingan kedua hari ini, mereka berjaya mengatasi gandingan Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 18-21, 21-19, 21-12 dalam masa 58 minit.
Kemenangan ke atas gandingan ke-26 dunia itu, adalah yang pertama mereka capai selepas dua kali tewas sebelum ini pada saingan Seluruh England 2020 dan Terbuka Thailand 2019.
“Ya kami sudah agak lama tak menentang mereka, tapi yang penting strategi kami menjadi.
“Untuk esok, kami bertemu lawan besar dan tidak mahu bermain terlalu bertahan, tidak boleh mengangkat bola tinggi terlalu banyak dan kami mahu tampilkan corak menyerang,” kata Pei Jing.
Di suku akhir esok, gandingan negara yang berada di ranking ke-23 dunia itu bakal berdepan pasangan nombor empat dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, selepas pasangan Thailand itu menewaskan pemain indonesia, Rinov Rinaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-16, 21-13.
Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan Thailand itu mempunyai rekod cemerlang menang sembilan daripada 11 pertemuan, dan kali terakhir kedua-dua gandingan ini bertemu pada Terbuka Korea lalu yang menyaksikan Dechapol-Sapsiree menang 21-9, 21-7.
“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran dan yang penting mahu mempamerkan prestasi terbaik dalam setiap kejohanan, setiap perlawanan,” kata Pei Jing.
Kian Meng-Pei Jing tidak keseorangan ke suku akhir, selepas gandingan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menempah slot suku akhir.
Tang Jie-Ee Wei mengatasi gandingan nombor enam dunia, Kim Wan Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan, 21-17, 21-19 untuk menempah pertemua dengan Te Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan.