LEGENDA Thailand, Kiatisuk Senamuang mengharapkan Gajah Perang akan bertemu Vietnam pada perlawanan akhir Piala Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
Piala AFF 2022 kini telah memasuki separuh akhir dan empat pasukan akan menentang lawan masing-masing dengan Indonesia berdepan Vietnam hari ini terlebih dahulu sebelum Malaysia menanti kunjungan Thailand, Sabtu ini.
Pemenang Piala AFF tiga kali sebagai pemain dan dua kali sebagai jurulatih menganggap saingan tahun ini agak sengit sambil pertembungan Thailand dan Vietnam adalah ideal bagi aksi pentas akhir.
Kiatisuk turut mahu melihat aksi Teerasil Dangda bertemu Vietnam dalam perlumbaan merebut kejuaraan.
Kali terakhir Thailand dan Vietnam bertemu pada perlawanan akhir Piala AFF pada 2008 dimana Vietnam menang dengan agregat 3-2.
“Pada perlawanan akhir saya mahu Thailand bertemu Vietnam,ini akan menjadikan persaingan yang jauh lebih menarik daripada separuh akhir,” ujar Kiatisuk.
Tambah Kiatisuk lagi, Thailand tidak akan mendapat tekanan daripada Malaysia pada perlawanan pertama memandangkan aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak semeriah di Stadium Bung Karno.
“Suasana di Senayan sangat meriah dan agak riuh rendah. Anda boleh lihat dengan mudah daripada perlawanan sebelum ini,” jelasnya.
Malaysia bakal menentang Thailand pada aksi pertama di SNBJ malam esok sebelum berkunjung ke tempat lawan untuk aksi timbal balik pada 10 Januari nanti.