KETUA jurulatih Harimau Malaya menganggap kemenangan dramatik 4-3 ke atas Republik Kyrgyz dalam aksi pertama Kumpulan D, Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 adalah usaha bersama para pemain dan juga sokongan pada penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dia juga berkata dia memberitahu para pemain ketika rehat separuh masa pertama apabila ketinggalan 1-2 supaya menghormati lawan dan bermain demi negara untuk memberikan kebanggaan buat para penyokong.
“Saya hargai usaha pemain Harimau Malaya yang tunjukkan semangat Malaysia kepada semua penyokong dan terima kasih juga pada para penyokong yang hadir kerana kemenangan ini adalah disebabkan oleh pemain dan penyokong.
“Sebagai jurulatih, perlawanan ini sangat sukar kerana kami umpama pergi ke syurga kemudian ke neraka dan kembali semula untuk beri kemenangan pada rakyat Malaysia.
“Kami bermula dengan sangat baik dan saya yakin sejak dari awal malah kami berjaya menjaringkan gol awal dan mengikut pelan permainan kemudian kami sedikit perlahan selepas itu hingga dibolosi.
“Pada rehat separuh masa, saya beritahu pemain yang mereka perlu menghormati lawan kerana Krygyz berada pada ranking lebih tinggi dari kami kerana saya sukakan keyakinan tetapi jangan terlalu yakin,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas jurulatih Hong Kong itu juga mengakui dia bagaikan diserang sakit jantung apabila Malaysia ketinggalan 1-3 namun dia berbangga dengan reaksi para pemain yang tidak mengenal putus asa sehingga berjaya mencipta kemenangan.
“Ianya satu perlawanan yang menakjubkan dan ianya bukan sebab perubahan taktikal saya tetapi para pemain telah memberikan aksi terbaik buat negara dan saya bangga dengan reaksi pemain yang berjaya mengawal perlawanan walaupun selepas ketinggalan.
“Mana-mana jurulatih akan kena sakit jantung apabila ketinggalan 3-1 tetapi pemain tunjukkan semangat tidak putus asa dan mahu menang yang buatkan saya bangga dengan semua pemain,” jelasnya.
Malaysia bangkit secara dramatik selepas ketinggalan 1-3 dengan Arif Aiman mempamerkan aksi cemerlang dengan empat bantuan jaringan yang membantu Dion Cools menjaringkan dua gol, satu gol sendiri dan gol kemenangan dijaringkan Faisal Halim pada masa kecederaan.