KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak berasa panik dan masih kekal dengan sasaran layak ke peringkat seterusnya meskipun Malaysia tewas 0-2 kepada Oman dalam aksi ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos Muscat pada Khamis.
Dia bagaimanapun gembira dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya meskipun berdepan beberapa kesukaran menjelang aksi penting ini dan percaya anak-anak buahnya akan bangkit pada perlawanan keempat di Bukit Jalil.
Jurulatih asal Republik Korea itu juga tidak mahu menjadikan kurang aksi kompetitif di kalangan pemain sebagai punca kekalahan dan mahu pemain lebih bersedia pada perlawanan selepas ini.
“Tahniah kepada Oman kerana berikan satu perlawanan yang baik. Sudah tentu kami mahukan kemenangan tetapi dalam keadaan ini, mereka telah lakukan yang sepatutnya dan saya akan lihat semula permainan ini dan lakukan pemulihan pemain sebelum perlawanan di tempat sendiri.
“Kurang kecergasan permainan bukanlah perkara baru dalam bola sepak tetapi itu bukan alasan kita tewas kerana kita sudah bersedia dengan keadaan ini dan kita perlu hadapi pasukan tahap tertinggi seperti ini.
“Perlawanan di tempat sendiri nanti akan lebih berbeza dan kami perlu dapatkan mata jika ingin ke peringkat seterusnya. Bagaimanapun kami masih kekal dengan sasaran kerana masih ada tiga perlawanan lagi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pan-gon turut mengakui mentaliti mahu mendapatkan satu mata di tempat lawan mungkin menyebabkan para pemain sedikit bermasalah namun dia berazam untuk mengubah perkara itu ketika beraksi di laman sendiri.
“Perbezaan antara kedua-dua pasukan segalanya tentang fizikal dan babak kedua lebih sukar. Perlawanan di tempat lawan kami tidak terlalu mengejar tiga mata dan ini mungkin sebab kami ada masalah di sini dan akan ubah pada perlawanan di tempat sendiri.
Pemain seperti biasa sudah berikan segalanya dan mungkin penyokong kecewa tetapi jika mereka lihat apa yang diberikan pemain mereka akan lebih menghargai pasukan ini,” jelasnya.
Malaysia kini tiada pilihan selain mendapatkan mata penuh di Bukit Jalil pada 26 Mac untuk memastikan sasaran layak ke pusingan seterusnya masih menjadi kenyataan.