MALAYSIA berjaya membenam Brunei 4-0 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sekaligus menjadi nota positif buat Kim Pan Gon dalam aksi sulung beliau di tempat sendiri.

Percaturan Kim Pan-gon menguji beberapa pemain di posisi tertentu dilihat mendatangkan hasil dengan skuad kebangsaan dilihat selesa beraksi meskipun pihak lawan lebih banyak menggunakan taktikal bertahan.

Malaysia yang kembali beraksi di hadapan penyokong sendiri bermula baik dengan menguasai permainan tetapi ketumpulan penyudah dilihat menggagalkan misi memburu gol awal.

Anak-anak buah Pan-gon akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-15 apabila Syafiq Ahmad melonjak tinggi menanduk masuk sepakan penjuru V.Ruventhitan.

Gerakan-gerakan Harimau Malaya semakin tersusun selepas gol itu dan Syamer Kutty Abba berjaya menggandakan kedudukan Malaysia sebelum tamat babak pertama.

Beberapa pertukaran dilakukan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu dengan memasukkan Guilherme De Paula, Liridon Krasniqi, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid pada babak kedua untuk menambah lagi sengat di bahagian serangan.

Pertukaran taktikal ini nyata berkesan apabila Faisal Halim berjaya menjaringkan gol pada minit ke-58 selepas menerima hantaran dari De Paula untuk Malaysia selesa mendahului 3-0.

Stadium Nasional bergemuruh apabila Akhyar dijatuhkan dalam kotak penalti dan penyokong menjerit nama De Paula untuk mengambil sepakan penalti itu. Beliau dengan tenang menyempurnakan penalti untuk gol keempat Malaysia pada minit ke-83.

Kemenangan ini pastinya menjadi pembakar semangat buat barisan negara yang akan berhadapan Hong Kong pada Rabu dalam satu lagi aksi persahabatan sebelum bermulanya Kelayakan Akhir Piala Asia.