SABAH FC enggan menoleh ke belakang sebaliknya memfokuskan perlawanan Liga Super bertemu PJ City FC pada malam ini.

Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee enggan mendabik dada meskipun memiliki rata-rata pemain berpengalaman untuk membenam cabaran PJ City pada aksi malam ini.

Melihat kepada lima pertemuan lepas, perlawanan dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan menang dua kali, kalah dua kali dan seri satu kali.

Beliau menegaskan meskipun pasukan PJ City FC beraksi tanpa kelibat pemain import, namun keserasian mereka terserlah apabila perlawanan terakhir mereka mengikat tuan rumah Melaka United di laman sendiri.

Bagaimanapun, Kim Swee yakin dengan keseluruhan pemain yang bakal mengemudi The Rhinos kerana masing-masing memainkan peranan dalam mencipta kejayaan kepada Sang Badak.

“Kalau kita lihat keputusan kebelakangan ini, PJ City walaupun tanpa pemain import, tapi mereka telah bersama begitu lama dan  perlawanan terakhir mereka dengan Melaka United mampu capai keputusan seri.

“Jadi ini bukan perlawanan yang mudah lebih-lebih lagi ini merupakan perlawanan kita yang keempat dalam tempoh 11 hari. PJ City tidak bermain pada hujung minggu lepas kerana mereka tidak terlibat dengan Piala FA.

“Beberapa faktor yang kita dapat lihat pertama mereka bertambah baik dengan pemain yang mereka bersama. Kedua, pasukan kita ada masalah kecederaan, keletihan. Saya percaya perlawanan malam ini tentu akan beri cabaran kepada pemain-pemain Sabah untuk memastikan kita berada pada landasan yang betul.

“Kita mempunyai Amri Yahyah, Badrol Bakhtiar dan mempunyai beberapa pemain lagi yang boleh bermain di bahagian serangan. Kita bukan tumpukan kepada penyerang sahaja tetapi pemain lain juga mampu menjaringkan gol. Kita mempunyai Park Tae Soo, Dominic Tan. Mereka merupakan tulang belakang pasukan,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Sabah FC akan bertandang ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya bertemu PJ City FC dalam aksi Liga Super malam ini.

The Rhinos kini menghuni tangga kedua liga dengan 25 mata manakala PJ City FC berada di tangga kesembilan liga dengan 11 mata.