PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan spekulasi masa depannya di Kota Kinabalu dengan menyatakan pihak pengurusan kelab akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan sama ada khidmatnya masih diperlukan atau tidak.

Sebelum ini, FLASH SUKAN telah menyiarkan laporan mengenai masa depan Kim Swee bersama Sabah selepas dilaporkan dia masih belum dipanggil mengenai lanjutan kontraknya yang akan tamat pada 30 November ini sekaligus mencetuskan perdebatan penyokong di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Masa depan Kim Swee di Sabah FC masih samar

Rata-rata penyokong mempertikaikan tindakan pengurusan yang dilihat lambat mengikat jurulatih berprofil tinggi itu tatkala Sabah sedang berada di kemuncak prestasi dengan empat kemenangan berturut-turut dan berjaya menjaringkan 17 gol.

Penyokong setia Sabah sudah mula bimbang kehilangan Kim Swee sebagai pengendali

“Saya telah dimaklumkan oleh pengurus pasukan, Rafie Robert di mana pihak pengurusan akan bermesyuarat untuk menentukan hala tuju kelab dan bagi saya pula, sejak awal Sabah FC adalah pilihan utama saya tetapi saya perlu hormati segala keputusan sama ada saya kekal ataupun tidak.

“Ini sudah pasti akan menimbulkan banyak spekulasi tetapi saya akan teruskan tugas saya sehingga penghujung November dan apa jua keputusan, saya akan berbincang dengan pihak pengurusan dan harap penyokong bersabar dan pasti akan ada keputusan dalam masa terdekat.

“Tetapi sehingga kini, saya masih belum dipanggil pengurusan untuk berbincang tentang perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas menewaskan Kelantan Darul Naim di Likas.

Sabah kini berjaya menjaringkan 17 gol dalam empat kemenangan berturut-turut

Kim Swee yang membimbing Sabah sejak 2021 berjaya membawa The Rhinos ke tahap yang membanggakan dengan menduduki tiga tempat teratas liga secara konsisten selain layak ke peringkat separuh akhir Zon Asean, Piala AFC 2023.

Selangor, Pulau Pinang, Terengganu mungkin boleh menjadi destinasi baharu Kim Swee sekiranya Sabah tidak mahu melanjutkan kontraknya selain kekosongan beberapa jawatan di Akademi Mokhtar Dahari mungkin menarik minat jurulatih berpengalaman itu.

Sabah FC kini di tangga ketiga Liga Super dengan 26 mata dan dilihat mampu mencabar Selangor untuk tempat kedua liga dan merebut tiket ke Liga Juara-Juara AFC 2 2025-2026 dan pengalaman Kim Swee pastinya ditagih para penyokong setia The Rhinos.