PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee gembira kerana pasukannya kembali mendapat tiga mata penuh selepas menewaskan Perak FC 3-1 pada Selasa sekali gus kembali bersaing bersama empat pasukan teratas dalam Liga Super.

Walau bagaimanapun, meskipun menang, dia melihat banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki terutama mengelakkan pemainnya daripada leka terutama selepas mendahului untuk perlawanan yang akan datang.

“Paling penting buat kami adalah untuk dapatkan tiga mata tetapi secara keseluruhan, kami tidak bermain seperti pada separuh masa pertama. Selepas menjaringkan tiga gol kami mula leka dan akhirnya dihukum.

Datuk Ong Kim Swee

“Perkara seperti ini adalah perkara yang perlu dielakkan. Tiga mata ini adalah penting tetapi masih banyak lagi yang perlu kami perbaiki,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam sidang media yang sama, Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menganggap pemainnya memberikan ruang yang selesa dan terlalu menghormati pihak lawan pada babak pertama adalah punca kekalahan kali ini.

Teong Kim sedar bukan mudah buat anak-anak buahnya ketika bertemu pasukan yang mempunyai pemain yang berkualiti seperti Sabah di laman lawan tetapi berpuas hati dengan satu jaringan hasil pertukaran taktikal yang telah dilakukan pada babak kedua.

Lim Teong Kim

“Separuh masa pertama kita tidak bermain dengan baik dan beri terlalu banyak ruang serta terlalu hormat kepada pasukan Sabah. Gol-gol yang mereka jaringkan kerana kita tidak menjaga pemain dengan baik.

“Sebab tu babak kedua kita tukar cara permainan. Letak dua penyerang di hadapan dan kita jaga pihak lawan lebih rapi. Kita dapat lihat selepas itu lebih banyak tekanan dapat diberikan dan kita dapat jaringkan satu gol,” katanya kepada media.

Kemenangan ini meletakkan Sabah di tangga keempat liga manakala Perak kekal di tangga ke-12 dari 14 pasukan bertanding dengan sembilan mata hasil dua kemenangan, tiga keputusan seri dan tujuh kekalahan.