JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak dapat menahan perasaan kecewa apabila merasakan seluruh negeri Sabah telah dirompak oleh penjelasan pengelola liga mengenai status kelayakan ke Piala AFC 2023.

Beliau menerima kekalahan di tangan JDT dengan hati terbuka tetapi terkilan kerana para pemainnya seharusnya meraikan kejayaan ke Asia tetapi sebaliknya yang berlaku.

Kim Swee yang mengambil alih Sabah FC pada awal musim lalu berjaya membentuk skuad yang mantap dan berjaya melebihi KPI yang ditetapkan oleh pengurusan pasukan iaitu tempat kelima teratas Liga Super.

“Seluruh negeri Sabah bagaikan dirompak dengan penjelasan yang dilakukan MFL. Kami sepatutnya sudah meraikan kejayaan ke Asia tetapi perkara yang sebaliknya berlaku dan saya kasihan dengan para pemain dan juga penyokong Sabah FC.

“Kita tahu bukan mudah bermain dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim. Apa yang dibuktikan oleh JDT apabila mereka kekal tanpa kalah sepanjang musim menyaksikan mereka berhak untuk menang dan kami tidak bermain seperti selalu kerana kekurangan ‘squad depth’ namun bagi saya untuk mendapat tempat ketiga adalah pencapaian terbaik buat Sabah.

“Kita tidak mempunyai ‘squad depth’ oleh itu ramai lagi pemain diperlukan untuk musim akan datang dengan para pemain yang dimasukkan boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain utama.

“Pengurusan meletakkan sasaran tempat kelima teratas buat saya namun saya mempunyai sasaran saya yang tersendiri. Kami berkerjasama sebagai satu pasukan dan kami perlu melakukan penambahbaikan dan mengenali kekurangan yang ada.

“Tanpa pemain utama bertemu pasukan terbaik negara seperti JDT sudah tentu memberi peluang kepada lawan. Kita sepatutnya sudah layak jika tidak ada perubahan pada saat akhir dari MFL. Saya masih belum puas hati kerana tidak layak ke Piala AFC,” tegasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Sabah FC bakal bertemu UiTM FC dalam saingan Piala Malaysia dan Datuk Ong Kim Swee ingin pasukannya melangkah sejauh yang boleh dalam Piala Malaysia dan harap dapat capai matlamat untuk layak ke Asia musim hadapan.