KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee nyata gembira dengan aksi para pemainnya ketika membelasah Kuala Lumpur Rovers 7-0 dalam aksi Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas.

Ramon Machado cemerlang meledak hatrik dengan masing-masing satu dari Saddil Ramdani, Jaffri Chew, Park Tae-su dan gol sendiri memastikan Sabah FC menempah tempat ke peringkat suku akhir bertemu Terengganu FC.

Malah Kim Swee juga berpuas hati kerana dapat menggunakan aksi ini sebagai medan para pemainnya mendapatkan minit permainan kerana mereka akan berehat dari saingan minggu keempat Liga Super minggu hadapan.

Datuk Ong Kim Swee gembira pemain dapat gunakan 90 minit untuk cari kecergasan perlawanan (kredit foto – Sabah FC)

“Keputusan yang cukup baik tetapi kita perlu konsisten kerana aksi ini sangat penting ekoran kita akan berehat pada minggu hadapan dan hanya akan bermain pada penghujung Jun, jadi 90 ini penting buat kesebelasan utama mendapatkan minit permainan.

“Kita juga berjaya mendapatkan jaringan yang banyak dan harap para pemain dapat kekalkan momentum di mana kita masih ada banyak perlawanan untuk kita harungi musim ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kim Swee juga mahu mengambil satu perlawanan pada satu masa dengan Sabah dijadualkan bertemu Terengganu FC dalam aksi timbal balik Piala FA sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Super.

Ramon Machado cemerlang sumbat hatrik

“Kita ada perlawanan suku akhir Piala FA sebelum menentang JDT jadi fokus kami adalah dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan berharap dapat mengekalkan momentum ini,” jelasnya.