KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee masih dapat melihat beberapa kelemahan dalam permainan anak-anak buahnya ketika aksi perlawanan persahabatan menentang Melaka FC pada Rabu.
Namun begitu Kim Swee tetap berpuas hati kerana kebanyakan pemainnya dapat memperolehi minit permainan sekurang-kurangnya 45 minit ketika menewaskan kelab Liga M3 itu 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Beliau juga mahu menggunakan perlawanan persahabatan terakhir menentang wakil Singapura, Tampines Rovers sebagai medan untuk memperbaiki kesilapan sebelum aksi sepak mula Liga Super 2023 bermula.
“Kita dapat 90 minit lagi permainan dan para pemain dapat bermain sekurang-kurangnya 45 minit. Saya tidak melihat pada keputusan dan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menentang Tampines Rovers. Perlawanan terakhir ini adalah sangat mustahak sebelum perlawanan pembukaan Liga Super.
“Saya tidak sepenuhnya berpuas hati kerana masih ada beberapa kelemahan terutama dalam permainan pada babak kedua. Banyak kelonggaran dapat dilihat apabila kita memberikan ruang kepada lawan di belakang pertahanan dan kita perlu perbaiki segala kelemahan ini sebelum bermula liga menentang PDRM FC.
Dalam aksi persahabatan itu, Sabah tidak berdepan masalah membenam Melaka hasi jaringan daripada Jakob Njoku, Telmo Casteniera, Stuart Wilkin dan Jailton Paraiba untuk satu lagi kemenangan yang meyakinkan.
Untuk rekod, perlawanan persahabatan sebelum ini Sang Badak berjaya menewaskan Geylang International FC 6-0 dan dua ‘clean sheet’ ini pastinya memberikan semangat kepada pemain dan kepercayaan daripada para penyokong.
Sabah bakal berhadapan Tampines Rovers di Stadium Likas sebagai persiapan terakhir sebelum menanti kunjungan PDRM FC untuk aksi pembukaan Liga Super pada 25 Februari 2023.