PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menafikan desas-desus yang dia mungkin akan meninggalkan Sabah FC untuk menjawat jawatan Pengarah di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) seperti dilaporkan media tempatan.
Kim Swee yang kini sibuk dengan persiapan pasukan Sabah menjelang permulaan musim Liga Malaysia 2024-25 berkata perkara ini adalah biasa bagi setiap jurulatih apabila ada kekosongan jawatan dalam mana-mana organisasi.
“Baca boleh percaya jangan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN untuk mendapatkan penjelasan.
Dia juga turut berkata fokusnya ketika ini adalah bersama pasukan Sabah FC yang sedang giat menjalani latihan dengan skuad yang penuh selepas semua pemain yang mewakili negara sudah kembali menyertai latihan.
“Fokus saya ketika ini hanya kepada pasukan Sabah dan kami sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi musim baharu liga yang akan bermula pada Mei,” jelasnya.
Sabah juga dalam perancangan untuk menganjurkan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai perlawanan persahabatan pramusim menjelang permulaan Liga Super yang dijadualkan bermula pada 10 Mei 2024.
The Rhinos menamatkan musim 2023 di tangga ketiga Liga Super dan berjaya layak ke peringkat separuh akhir zonal Piala AFC 2023-24 sebelum terpaksa akur kepada wakil Australia, Macarthur FC.