PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap baki empat perlawanan Liga Super musim ini amat penting baginya melunaskan misi untuk berada di tempat ketiga dalam liga.

Seperti diketahui, The Rhinos sudah lama tidak bermain dalam saingan Liga Super sejak aksi terakhirnya menewaskan Negeri Sembilan FC dengan keputusan 3-1.

Oleh itu, pastinya perlawanan Liga Super yang bakal berlangsung akan menjadi tumpuan buat para penyokong kelab tempatan tersebut.

“Walaupun perlawanan kita dengan Kelantan telah ditunda sekali lagi, ia serba sedikit memberi ruang untuk kita bersedia dalam perlawanan timbal balik bersama Hai Phong FC.

“Namun, kita juga tidak mengabaikan pertarungan Liga Super yang akan datang iaitu menentang Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah

“Dalam masa yang sama, saya amat memandang serius terhadap semua baki perlawanan Liga Super kali ini kerana jika berlaku apa-apa pada pasukan yang kini berada di tangga ketiga dan keempat, maka kita ada peluang untuk akhiri liga di kedudukan tiga teratas,” ujarnya kepada media.

Jelas bahawa matlamat utama Kim Swee dalam Liga Super ini selaras dengan semangatnya untuk mendapatkan momentum terbaik Sabah FC dalam Piala AFC yang sedang berlangsung.

Untuk rekod, Sabah FC kini berjaya mengumpul 42 mata dalam 22 perlawanan keseluruhan sekaligus meletakkan pasukan di tempat kelima dalam carta Liga Super 2023.

Perlawanan antara Sabah FC menentang Kelantan FC yang dijadualkan berlangsung pada 3 November (hari ini) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu itu telah ditunda ke satu tarikh yang baharu.