JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan penyokong agar dapat mengawal emosi bagi mengelakkan insiden semasa menentang Johor Darul Ta’zim yang menyaksikan Sabah FC tewas 0-1 kepada Harimau Selatan kembali berulang.
Menyedari pasukan Selangor FC mempunyai pemain yang berkualiti, namun beliau tetap yakin aura bermain di laman sendiri perlu digunakan sebaik mungkin untuk mara ke separuh akhir saingan Piala FA 2022.
“Itu penting, saya tahu penyokong sangat beremosi termasuk pegawai dan para pemain dan apabila kita mendapat penyokong yang begitu ramai, saya harap penyokong terus memberi sokongan motivasi, tatatertib apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
“Saya harap penyokong dapat mengawal emosi dan pada masa yang sama menyokong pasukan Sabah demi kepentingan bukan sahaja bolasepak Sabah tetapi secara keseluruhannya memberi lebih saingan kepada liga kita pada masa akan datang.
“Kita tahu ini perlawanan yang berbeza bukan Liga Super tetapi Piala FA, kalah mati. Sudah tentu ini merupakan perlawanan yang cukup penting terutama untuk pasukan Sabah FC yang bermain di tempat sendiri.
“Kita tahu pasukan Selangor tempoh hari bila kita bermain di liga, mereka bermain dengan begitu baik. Kita tahu pasukan Selangor mempunyai ramai pemain berkualiti, terutama pemain import tidak kira di Selangor II, mereka boleh turunkan sesiapa sekalipun tetapi kita harus ambil kesempatan bermain di tempat sendiri,” jelasnya kepada Flash Sukan selepas sesi latihan Sabah FC.
Bagaimanapun, Kim Swee dilihat berdepan sedikit kesulitan apabila beberapa pemain tonggak belum pulih sepenuhnya dari kecederaan.
“Kita mempunyai beberapa pemain yang masih belum pulih sepenuhnya seperti Saddil (Ramdani), Jackson, tapi saya masih mempunyai masa untuk memilih pemain untuk diturunkan,” ujarnya.
Bekas pengendali skuad b-23 kebangsaan itu turut mempunyai beberapa pilihan di jentera serangan seperti Amri Yahyah, Baddrol Bakhtiar serta Jose Embalo.
Biarpun begitu, beliau masih belum memutuskan pemain yang akan diturunkan untuk perlawanan esok.