BUKAN sahaja Amri Yahyah, tetapi pertahanan sayap Rizal Ghazali dan pertahanan tengah Irfan Zakaria juga meninggalkan kem Sabah FC selepas kempen Liga Malaysia berakhir pada Ahad.
Ketua jurulatih The Rhinos, Datuk Ong Kim Swe mengesahkan pemergian kedua-dua pemain itu di laman Instagram.
“Ia adalah musim yang panjang dan sukar tetapi penuh peristiwa di Sabah FC.
“Di sebalik beberapa cabaran, kami berjaya mencapai tempat ketiga Liga Super dan berjaya mara ke peringkat kalah mati Piala AFC.
“Sebagai jurulatih, saya tahu orang di kelab datang dan pergi. Dan hari ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Amri Yahyah, Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria atas khidmat dan komitmen mereka kepada kelab,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee mengucapkan selamat maju jaya buat penolong jurulatih setianya, Rastilav Bozik dan jurulatih fizikal Martin Stano.
“Tidak lupa juga kepada CEO kelab, Ahmad Marzuki Nasir yang telah menyokong sepanjang saya berkhidmat di sini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang telah menyumbang kepada musim yang unik ini,” katanya lagi.