MASA depan Datuk Ong Kim Swee akhirnya terjawab apabila kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo mengumumkan bekas jurulatih Sabah itu sebagai pengendali baharu mereka untuk baki musim 2024-25.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab sekaligus menutup segala ura-ura mengenai masa depan Kim Swee yang tidak menyambung kontrak bersama Sabah FC.

Kim Swee menerima tawaran Laskar Sambernyawa atas alasan mahu mencari cabaran baharu di luar negara selepas mempunyai rekod cemerlang di Malaysia baik dengan skuad kebangsaan mahupun kelab.

“Saya melihat ini sebagai satu peluang bersama satu kelab yang memiliki cita-cita yang cukup tinggi, di mana saya hadir bersama Persis dan memastikan semua pihak memiliki objektif yang sama iaitu ingin memastikan kelab ini berada di posisi yang baik.

“Saya memahami Persis memiliki banyak pemain muda, dan ini satu kelebihan. Namun, untuk bermain di peringkat tertinggi, kami harus memiliki kombinasi pemain senior dan pemain muda,” katanya.

Kehadiran Kim Swee dijangka dapat membantu kelab berpangkalan di Solo itu untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga 1 apabila kini sedang bergelut dengan prestasi selepas tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut kepada Bali United, PSS Sleman dan Malut United.

Akibatnya, Persis kini berada di zon penyingkiran  dengan hanya tujuh mata selepas berakhir 11 perlawanan dan Barito Putera akan menjadi ujian pertama buat Kim Swee di Indonesia pada 3 Disember 2024.