KEKALAHAN Sabah FC menentang PDRM FC dalam perlawanan Liga Super 2023 pada Khamis merupakan satu keputusan yang mengecewakan.

Jurulatihnya, Ong Kim Swee juga berkata prestasi anak buahnya tidak memuaskan dan pemain perlu menyalahkan diri sendiri sekali gus mengambil iktibar di atas kekalahan berturut dalam perlawanan sebelum ini.

Ong Kim Swee menjelaskan sesuatu dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium MBPJ.

“Kita tidak boleh benarkan kekalahan demi kekalahan berlaku terutamanya di tempat lawan dan perlawanan telah memasuki pusingan kedua di mana kita perlu memastikan kita berada di dalam kelompok terbaik.

“Kalau kita tidak berjaya mendapatkan keputusan yang baik, saya percaya kita akan ketinggalan selepas ini,” kata Kim Swee dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan tempoh masa rehat sehingga perlawanan seterusnya menentang Kelantan United pada 26 Jun dapat memberikan ‘kerja rumah’ yang banyak dalam memastikan pasukan itu dapat kembali ke landasan yang betul.

Menjawab pertanyaan dua perlawanan yang bakal ditempuhi Sabah FC akan datang, Kim Swee menekankan dia hanya fokus kepada satu perlawanan iaitu perlawanan pertama dan apa yang penting pasukan dapat menumpukan sepenuh perhatian serta kembali beraksi dengan lebih bagus.

The Rhinos kini berada di kedudukan kelima dengan 24 mata berbeza dengan PDRM FC yang meningkat kedudukan ke-8 dengan 19 mata.