PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim tidak gembira dengan permainan yang ditunjukkan para pemainnya apabila melepaskan kelebihan dua gol untuk diikat Terengganu FC 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.
Dia turut mengakui pemainnya terlalu banyak memberikan ruang buat pasukan lawan mengawal perlawanan dan akhirnya dihukum pada minit-minit akhir perlawanan pada setiap babak sekaligus memadam peluang Sabah untuk berada di tangga kedua Liga Super.
“Kita tidak tunjukkan satu permainan seperti mana yang kita lakukan. Saya percaya Terengganu bermain lebih baik terutama dalam mengawal perlawanan. Kita juga mempunyai beberapa peluang yang dicipta namun apabila kita mendahului 2-1 pada babak kedua, kita gagal menambah jaringan dan ini meletakkan tekanan.
“Seperti saya katakan sebelum ini, Terengganu tewas dalam dua perlawanan sebelum ini dan tidak mahu pulang tanpa sebarang mata. Mereka berusaha dan kita perlu salahkan diri sendiri kerana membenarkan Terengganu berada dalam kawasan kita terlampau lama dan mengawal perlawanan dengan baik.
“Rizal Ghazali tidak dapat bermain kerana penggantungan, Park Tae-su baru sahaja pulih dan Saddil Ramdhani pula mengalami kecederaan namun pemain yang ada melakukan tugas dengan baik apabila mendahului tetapi gagal mengawal perlawanan hingga bolos pada minit akhir dan perkara ini perlu dielakkan kerana jika gol tidak berlaku pada separuh masa pertama, mungkin perlawanan akan jadi berbeza,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner gembira dengan satu mata yang berjaya dibawa pulang dan dia memuji barisan pemainnya yang kekal fokus dan tidak berputus asa meskipun ketinggalan dua gol pada suatu ketika.
“Saya mahu ucapkan tahniah kepada pasukan saya kerana selepas ketinggalan dua gol, kami berjaya membawa pulang satu mata dan ianya umpama kemenangan dan umpama tiga mata bagi kami.
“Walaupun mata itu tidak besar, tetapi ianya penting untuk semangat kepada pemain selepas ini kerana ini adalah mata pertama yang kami bawa pulang dari tempat lawan menentang pasukan yang lebih baik.
“Saya rasa pemain saya berhak mendapat satu mata ini kerana kami bermain baik dan kami adalah pasukan yang lebih baik pada beberapa tahap dalam permainan. Selepas gol pertama dan penalti kami kekalkan fokus dan tidak putus asa dan akhirnya berjaya membawa pulang satu mata,” jelasnya dalam sidang media selepas perlawanan.
Keputusan seri ini menyaksikan Sabah terlepas peluang naik ke tangga kedua sebaliknya turun ke tangga kelima dengan 21 mata manakala Terengganu kekal di tangga kesembilan dengan 14 mata selepas berakhir 11 perlawanan.