KETIKA saingan Masters Malaysia belum melabuhkan saingannya, cabaran pemain kebangsaan sudah berakhir, namun beregu lelaki muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King layak diangkat sebagai pemain paling menyerlah.

Pasangan nombor 47 dunia itu mempamerkan peningkatan prestasi yang cukup positif apabila berjaya mara sehingga separuh akhir, yang juga menjadi pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan Super 500 sejak digandingkan Julai tahun lalu.

Dalam laluan ke separuh akhir, Arif-Roy King menyingkir dua gandingan pilihan pada kejohanan tersebut, iaitu Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan (pilihan keempat) di pusingan kedua dan pasangan nombor dua Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard (pilihan keenam) di suku akhir.

Naib juara Masters Sepanyol itu juga hampir mengheret satu lagi beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang juga pasangan nombor empat dunia ke set penentuan sebelum tewas 13-21, 19-21 di separuh akhir, semalam.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui gembira dengan peningkatan ditunjukkan Arif-Roy King sehingga memberi penilaian cukup tinggi kepada beregu berkenaan.

“Apa yang ditunjukkan Arif dan Roy King pada kejohanan ini sangat positif. Mereka berjaya catat kemenangan ke atas pemain-pemain yang menghuni ranking di atas mereka.

“Mereka tewaskan pilihan keempat dan keenam. Selain itu, mereka juga hampir untuk mengheret pilihan kedua beraksi di set penentuan.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang juga finalis tahun lalu, sekadar mara ke suku akhir.

Aaron Chia-Soh Wai Yik juga tersingkir di suku akhir.

“Walaupun kalah di separuh akhir tetapi saya boleh bagi mereka sembilan daripada 10 markah,” kata Rexy.

Bagaimanapun, bekas juara dunia dan Olimpik itu mahu Arif-Roy King kekal merendah diri dan terus bekerja keras bagi melonjakkan lagi prestasi mereka pada kejohanan akan datang.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tunduk di separuh akhir Masters Malaysia.

Pearly Tan-M Thinaah yang layak ke Olimpik Paris 2024, turut tersingkir ke separuh akhir.

“Harapan saya kepada mereka adalah supaya mereka tidak mudah besar kepala selepas ini dan terus menampilkan aksi lebih baik dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya.

Sebagai rekod, tiada pemain daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mara ke final pada Masters Malaysia kali ini dengan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut terkandas di separuh akhir.