PENJAGA gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed membuktikan bahawa dia sememangnya pilihan tepat menjadi benteng akhir pasukan kebangsaan setelah berjaya menidakkan tiga percubaan wajib gol dari Thailand.

Jelas Syihan, latihan tambahan yang dibuat atas kapasiti sendiri jelas menjadi faktor berjaya menidakkan hasrat Thailand untuk melakar kemenangan di hadapan ribuan penyokong tuan rumah yang hadir.

Dengan rendah diri, penjaga gawang berasal dari Kelantan itu tidak meletakkan pujian kepada dirinya sahaja sebaliknya kepada pasukan atas usaha yang dipamerkan sepanjang perlawanan.

“Bagi individu, Syihan bukan setakat berlatih biasa. Syihan ada buat beberapa latihan tambahan. Pemain, jurulatih dan semua beri sokongan padu.

“Syihan hendak cakap yang Syihan berjaya selamatkan gol itu, jangan nampak Syihan sahaja. Satu pasukan telah memberi persembahan yang baik pada malam ini,” ujarnya kepada media selepas tamat perlawanan di 700th Stadium Anniversary, Chiang Mai, Thailand.

Sementara itu, pemain pertahanan kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Piee mengakui taktikal jurulatih telah memberi ‘spotlight‘ kepadanya untuk memberi tumpuan mengekang asakan pemain tertentu seperti Chanatip Songkrasin yang memiliki pengalaman besar bermain di Liga Jepun.

Jelasnya, selain corak high pressing, taktikal yang diturunkan Pan-gon di bahagian pertahanan adalah dengan membina tiga atau empat benteng bagi mengekang asakan lawan.

“Semua pemain beri lebih dari 100 peratus. Walaupun kita kena gol minit akhir kita tetap mempamerkan semangat yang tinggi. Setiap taktikal ada beberapa sasaran untuk mengelak gol awal Thailand.

“Pemain-pemain Thailand seperti Chanatip. Mereka ada pemain yang bagus. Apapun saya memuji barisan pemain Malaysia.

“Dalam liga Malaysia juga kita boleh melihat banyak pasukan bermain secara back three atau four back walaupun taktikal Kim Pan-gon bermain secara high pressing,” katanya.