JURULATIH pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon anggap kejayaan pasukan Malaysia mara ke final adalah disebabkan komitmen tinggi yang dipamerkan pemain.
Jelasnya, dia memberi kepercayaan sepenuhnya kepada anak buah untuk melaksanakan tugasan yang diberi kerana percaya dengan taktikal yang dipertaruhkan bagi menentang pasukan Thailand.
“Kita berharap kita dapat menamatkan perlawanan lebih awal. Apa yang Harimau Malaya tunjukkan, komitmen dan keyakinan, saya yakin dengan pemain bahawa mereka boleh lakukan.
“Malam ini saya percaya penuh kepada semua pemain kita, mereka bermain dengan sangat baik,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan Piala Raja Thai 2022.
Sementara itu, pertahanan Harimau Malaya, Lavere Corbin Ong akui kepandaian pemain meresap segala tekanan menjadi sebab antara Malaysia menamatkan penantian 27 tahun beraksi di bumi Chiang Mai selepas kali terakhir diadakan di sini pada Sukan SEA 1995 di Thailand.
Sebagai pemain, dia hanya mengikut taktikal dari jurulatih dan hasilnya berjaya diterjemahkan dengan gol pembukaan dan jaringan kemenangan.
“Saya rasa sebagai pemain kita harus bijak menangani tekanan. Kami pemain profesional perlu menyerap tekanan. Karakter pemain mainkan peranan dan bijak menyerap tekanan membawa kita menang.
“Apabila saya bersama skuad kebangsaan, pastinya saya mengikut taktikal dari jurulatih dan kami cuba sebaik mungkin untuk menang,” ujarnya.