PENYERANG Terengganu FC, Brice Hermann Tchetche Kipre berkongsi tentang cita-citanya dan pengalamannya sepanjang berkelana di negara ini.
Sekiranya Kipre bukan bergelar seorang pemain bola sepak, dia kemungkinan akan terlibat dalam bidang pembinaan.
“Mungkin saya akan pergi ke arah menjadi seorang kontraktor pembinaan.
“Sejak kecil saya memang suka melihat struktur bangunan dan minat dalam bidang itu. Namun ia berubah selepas saya mengenali bola sepak,” kongsinya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, Kipre yang tiba di Malaysia sejak 2017 mengakui kehidupan di Malaysia sangat indah dan terdapat pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi.
Tambahnya, dia tidak sukar untuk menyesuaikan diri dengan makanan di negara ini kerana kesemuanya hampir serupa ketika berada di Ivory Coast.
“Saya menikmati hidup dan tinggal di sini. Saya suka pemandangan pantainya. Saya juga sukakan makanannya sama seperti di negara saya (Ivory Coast) seperti Nasi Ganja, Nasi Arab.
“Tempat menarik seperti Pulau Redang, Pulau Langkawi, saya sudah tentu akan pergi jika mempunyai masa dalam dua atau tiga hari,” ujarnya.
Sementara itu, penyerang kelahiran Ivory Coast itu mengakui bola sepak di Malaysia telah berubah dari segi corak permainan long ball kepada penguasaan bola dan bermain secara short pass.
Kipre mengakui Johor Darul Ta’zim adalah pasukan pertama yang menerapkan taktikal short pass manakala pasukan lain tetap dengan falsafah hantaran jauh pada masa itu.
“Liga di Malaysia telah banyak berubah. Ia ada banyak perubahan yang berlaku. Ia bukan mudah, sekarang ini liga menjadi lebih kompetitif. Kita boleh lihat persaingan yang sihat dan lebih banyak cabaran antara pasukan di liga.
“Negara terakhir di Oman, saya lihat mereka bermain secara taktikal dan lebih baik. Semasa saya datang pada 2017, banyak pasukan yang bermain secara long ball.
“Kini mereka lebih bermain dengan penguasaan bola, mengikut taktikal dan teknikal jurulatih supaya tidak mudah hilang bola,”ujarnya.