FOTO : BERNAMA
JAGUH berbasikal pecut negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil memberikan penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam pusingan pertama acara keirin semalam.
Pelumba berusia 36 tahun itu yang berlumba dengan Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda), Jaor Tjon En Fa (Suriname) baru memulakan henjutan ketika derny meninggalkan trek, namun perlumbaan itu segera dihentikan.
“Semalam, saya menghadapi situasi yang sukar dan penuh cabaran. Bermula dengan undian, saya mendapat posisi terakhir, iaitu kedudukan keenam. Meskipun begitu, saya tetap tenang kerana setiap posisi mempunyai perancangannya yang tersendiri. Begitu juga dengan Shah Firdaus, rakan sepasukan saya, yang turut berada dalam posisi keenam dalam heat beliau.
“Saya dan jurulatih saya, John Beasley, telah berbincang dan bersetuju bahawa strategi terbaik adalah untuk bergerak ke hadapan seawal mungkin dan cuba mendapatkan posisi paling hadapan. Ini kerana terdapat beberapa pelumba “front runner” (senko) di hadapan yang mungkin akan memecut awal, meletakkan saya dalam keadaan sukar untuk bergerak ke hadapan pada kelajuan tinggi.
“Dengan berbaki satu pusingan sebelum pacer keluar, saya mula bergerak ke hadapan perlahan-lahan dari belakang, sama seperti yang pernah saya lakukan dalam perlumbaan Asian Championships di Kuala Lumpur dahulu. Tujuannya adalah untuk berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua, dan selepas pacer keluar, saya akan terus memecut untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan,” katanya di media sosial.
Namun, menurut Azizulhasni , situasi menjadi rumit apabila beliau dihalang dengan himpitan dari pelumba Perancis ketika melepas selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat.
“Himpitan tersebut terlalu agresif, dan bagi saya, ianya sengaja dilakukan kerana pelumba tersebut melanggar saya. Saya hampir terjatuh, tetapi Alhamdulillah, dengan reaksi pantas dan kemahiran mengawal basikal yang baik, saya terselamat.
“Tidak cukup dengan itu, pelumba Perancis tersebut masih mengekori rapat dan cuba memberikan himpitan kedua. Dalam keadaan tersebut, reaksi saya adalah bergerak ke hadapan untuk mengelak daripada dihimpit lagi. Sebagai seorang pelumba Keirin yang elite, saya tahu kelajuan pacer sebelum keluar. Biasanya, di lap terakhir, pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat pada kelajuan 50-55km/j. Namun, dalam perlumbaan saya, pacer bergerak lebih perlahan, sekitar 40-45km/j, dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan.
“Ketika saya bergelut dengan pelumba Perancis tersebut, saya terkejut melihat pacer masih belum memecut keluar. Saya cuba untuk memperlahankan kelajuan dengan cara back pedal, tetapi malangnya tidak sempat untuk mengurangkan kelajuan seperti yang diinginkan.
“Mengikut peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di garisan pursuit (line halus di tengah front stretch, bukannya starting line). Malangnya, tayar belakang saya memang memotong pacer sebelum pacer keluar. Namun, ianya tidak sengaja dan disebabkan oleh dua faktor utama; himpitan berterusan dari pelumba Perancis dan pacer yang bergerak lebih perlahan daripada biasa,” katanya.
Berikutan insiden itu, jurulatih beliau, John Beasley, dan Pengurus Pasukan, Izham Mohammad, segera berjumpa dengan pihak panel komisar sejurus kejadian berlaku untuk menjelaskan situasi dan memohon agar mereka menilai kembali video perlumbaan serta keputusan yang dibuat. Namun, pihak komisar memilih untuk kekal dengan keputusan asal.
“Terdapat keadaan di mana pelumba melakukan kesalahan yang jelas secara sengaja atau tidak sengaja yang melanggar undang-undang perlumbaan tetapi tidak dikenakan hukuman atau diberikan peluang oleh panel komisar. Contohnya, dalam perlumbaan semi-final sprint antara pelumba Great Britain dan Holland serta perlumbaan quarterfinal antara pelumba Great Britain dan Jepun.
“Keadaan ini mengingatkan saya kembali kepada perlumbaan Keirin final di Olimpik Rio, di mana perlumbaan harus diberhentikan sebanyak dua kali dan dimulakan semula tanpa seorang pun pelumba dikeluarkan.
“Dalam sukan lumba basikal trek, keputusan panel komisar adalah mutlak. Dahulu, jurulatih dan pasukan masih boleh mengemukakan hujah dan video untuk dinilai semula, tetapi kini, semuanya telah diubah sepenuhnya.
“Melangkah ke hadapan, saya berharap semua dapat memberikan sokongan dan doa kepada rakan sepasukan saya, Shah Firdaus, yang kini menggalas tanggungjawab dan harapan untuk membawa pulang pingat emas buat kontinjen Malaysia. Saya percaya, Shah Firdaus mampu melakukan yang terbaik,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN :
Shah Firdaus “tentera” terakhir harapan negara
Perburuan emas The Pocket Rocketman berakhir di garisan mula