PERSEORANGAN badminton wanita kebangsaan, Kisona Selvaduray sah mengundur diri dari badan induk Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas ini, ratu badminton negara itu akan bermain sebagai pemain profesional dan tidak lagi bernaung di bawah BAM.

Keputusan itu dibuat setelah melihat keadaan terkininya yang sedang berdepan masalah kecederaan lututnya.

 

Pun begitu, tumpuannya adalah terlebih dahulu pada pemulihan kecederaannya untuk kembali beraksi bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Buat masa ini, saya tumpukan untuk pemulihan. Nantikan saya akan buat pengumuman terdekat di sosial media saya untuk meneruskan latihan.

“Saya fokus pada pemulihan dahulu. Kecederaan saya walaupun agak kecil, tetapi mungkin saya akan kembali pulih dalam masa dua atau tiga minggu lagi.

“Bengkak itu sudah kurang. Minggu hadapan harus berjumpa dengan doktor semula.

“Saya juga akan berbincang dengan doktor untuk kembali bermain kejohanan dan bersedia bagi kelayakan Olimpik 2024.

Sementara itu, Kisona juga mengesahkan tidak dapat beraksi pada Terbuka Malaysia 2023 ekoran ranking mata yang tidak mencukupi bagi meletakkan dia layak secara merit ke kejohanan tersebut.

 

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia mengumumkan senarai 14 pemain yang secara rasmi tidak lagi bersama BAM bagi kalendar sukan badminton 2023.

Pemain tersebut adalah Lim Chong King (MS), Ting Wen Xuan (MS), S Kisona (WS), Myisha Khairul (WS), Eoon Qi Xuan (WS) Joanne Ng (WS), Khor Jing Wen (WS), Loh Zhi Wei (WS), Low Hang Yee (MD), Chang Yee Jun (MD), Lwi Sheng Hao (MD), Fawwaz Zainuddin (MD), Faris Amrin Roslan (MD) & Zulhairi Sahimin (MD).

*MS – Perseorangan  Lelaki

*WS- Perseorangan Wanita

* MD- Beregu Lelaki