SKUAD futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat semangat tambahan apabila mula menggunakan kit latihan baharu yang dibekalkan Nike menjelang aksi pembukaan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 pada Sabtu.

Menerusi perkongsian yang dimuatnaik di laman sosial rasmi pasukan, para pemain jelas bersedia dan bersemangat dengan menggayakan kit latihan baharu selaras dengan pasukan utama JDT yang turut memulakan latihan pramusim pada Rabu.

Pasukan kendalian Juan Antonio Miguel Garcia sudah pasti mahu melupakan kekecewaan musim lalu apabila muncul naib juara dalam kedua-dua kejohanan futsal yang disertai dengan mempamerkan aksi lebih mantap pada musim 2024.

Mencabar juara bertahan, Pahang Rangers sudah tentu menjadi agenda utama Juan Antonio selain perlu berhati-hati dengan enam lagi pasukan yang turut bertanding dalam Divisyen 1 MPFL musim ini.

Futsal JDT membawa masuk lima muka baharu dengan tiga pemain tempatan dan dua pemain antarabangsa yang dilihat bakal menambah sengat barisan JDT sekaligus bergelar pencabar kejuaraan dalam tahun kedua penglibatan mereka di MPFL.

Kehadiran Mahadir Harahap Khairuddin dan Izwan Bakri serta Yazid Kamaruzuan dijangka menampung kelemahan yang ada pada JDT musim lalu dengan Gombak TOT United akan menjadi pencabar pertama pada Sabtu di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

Sebanyak lapan pasukan – JDT, Pahang Rangers, Selangor FC, Shah Alam City, Gombak TOT United, Kuala Lumpur City, Terengganu FC dan Sabah FC mengambil bahagian dalam Divisyen 1 MPFL 2024 dengan JDT mengekalkan Stadium Bandaraya Pasir Gudang sebagai laman sendiri.