“KITA kadang-kadang mudah lupa.”

Demikian luahan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menjawab mengenai prestasi kurang memberangsangkan yang telah dipamerkan skuad Harimau Malaya dalam saingan Kumpulan D Kempen Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 tempoh hari.

Harimau Malaya yang tewas berturut-turut kepada Oman, jelas memberi impak besar terhadap perjalanan Malaysia untuk mara ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 sekali gus meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

Namun, menurut Hamidin, skuad kendalian Kim Pan-gon itu masih berpeluang untuk melakar satu sejarah dengan memasuki pusingan ketiga seandainya berjaya menumpaskan Kyrgyzstan dan Taiwan dalam dua baki perlawanan itu.

Hamidin yakin Malaysia dapat mara ke pusingan ketiga Piala Dunia 2027 setelah menang dalam baki dua perlawanan nanti.

“Sudah menjadi perkara biasa kepada peminat bola sepak, bila kalah pasti menumpang untuk kritik hal tersebut. Itu memang hak mereka dan mana yang baik, saya ambil dan jadikan sebagai sempadan untuk FAM.

“Tetapi pada tiga bulan lepas, Fifa telah memuji Malaysia di mana kita berada di kedudukan lima pasukan terbaik dalam dunia yang ranking kita naik tinggi, dalam 40 ranking semenjak dua tahun.

“Tapi kita kadang-kadang mudah lupa. Jadi kita tetap mahu menang dan turun masuk Piala Dunia. Strategi atau pelan ini bukan boleh menang sahaja. Kita perlu realistik di mana kita berada sekarang.

Harimau Malaya pernah dipuji oleh pihak Fifa pada tiga bulan lalu.

“Dalam kita berusaha untuk melakukan penambahbaikan, akan ada kalah dan menang. Kita tunggu peluang yang ada buat pasukan kebangsaan kita untuk mencatat rekod sejarah supaya masuk ke pusingan ketiga Piala Dunia, jika mereka berjaya mengalahkan Kyrgyzstan dan Taiwan nanti,” kata Hamidin selepas tamat Mesyuarat Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Isnin.

Skuad kebangsaan kita kini berada di kedudukan ketiga dengan rekod enam mata di saingan Kumpulan D, dan Kyrgyzstan serta Oman pula merupakan pasukan yang mendahului carta kumpulan, setelah berkongsi sembilan mata yang sama.

Harapan kini tinggi buat skuad Harimau Malaya untuk menebus kesilapan dan kembali bangkit pada aksi menentang Kyrgyzstan di gelanggang lawan pada 6 Jun, sebelum berdepan dengan Taiwan di laman sendiri, lima hari kemudiannya.