MESKIPUN berjaya mengikat skuad Sang Penyu 1-1 pada aksi Liga Super yang berlangsung semalam, namun Ketua jurulatih Sri Pahang FC tetap melahirkan rasa tidak berpuas hati.
Fandi Ahmad selaku jurulatih kelahiran Singapura menyifatkan, empat perlawanan kebelakangan yang dilalui skuad Sri Pahang FC dan terakhir bertemu Terengganu FC adalah aksi yang tidak ‘bertuah’.
Walau bagaimanapun, Fandi tetap lega dengan prestasi anak buahnya berdepan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner yang terdiri daripada pemain berkualiti, sekali gus menghalang mereka untuk memperoleh tiga mata di laman sendiri.
“Perlawanan menentang Terengganu ini saya lihat peluang kita lebih banyak daripada perlawanan sebelumnya. Kerana empat aksi sebelum ini, kita dilihat tidak beruntung.
“Tetapi hari ini (Jumaat) kita berhasil mencari ruang untuk cipta jaringan walau akhirnya keputusan masih tidak berpihak kepada kita. Jadi kita akui Terengganu satu pasukan yang baik, dan kita ada peluang cuma disia-siakan.
“Dalam empat perlawanan terakhir ini, saya juga melihat momentum kita meningkat daripada perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC. Setidaknya sekarang kita harus menang tiga perlawanan namun kita masih belum bertuah,” ujar Fandi.
Dalam masa yang sama, dia turut menyatakan keinginannya untuk memiliki pemain baharu di posisi penyerang, demi memperkuatkan lagi jentera pemain untuk mengharungi saingan-saingan lain.
“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk mendapatkan penyerang baharu demi mengubah nasib pasukan. Begitupun, ia bergantung kepada tahap kewangan pasukan,” katanya.