KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail mendedahkan sesuatu buat para pemain supaya tampil agresif dan penuh bertenaga ketika seri 1-1 berdepan Harini Selangor FT.
Dalam perlawanan terakhir Liga MBSB Bank Championship 2023 di Stadium UPM, Serdang pada Sabtu, KL Rovers berjaya meraih slot playoff untuk beraksi di pentas Liga Super musim hadapan.
“Saya memang kata pada para pemain berikan habis-habisan. Apa juga keputusan kita nak pasukan lawan itu keluar padang merangkak.
“Saya puas hati apa yang saya mahu, mereka telah berikan. Saya harap pemain dapat gunakan peluang kedua kita untuk promosi ke Liga Super dan harapan saya pengurusan akan meneliti balik, kemudian berilah sokongan pada pemain muda ini untuk mereka merasa beraksi di peringkat tertinggi,” katanya selepas perlawanan.
Wan Mustafa turut berpuas hati sumbangan anak buahnya selama 24 perlawanan pada musim ini yang disifatkannya tahun yang begitu menakjubkan dan paling utama sentiasa bersabar menempuh onak dan diri bersama.
Meskipun dihimpit masalah gaji, pemain The City Boys tetap positif dengan mencapai apa yang dikehendaki tahun ini.
“Pasukan Imigresen FC dan Harini FT mereka dengan pemain-pemain bintang berbanding kami yang saya selalu ulang pemain-pemain remaja, bekerja part timer, e-hailing dan penghantaran makanan.
“Mungkin masalah kecederaan tonggak utama dan pemain muda yang dimasukkan tiada pengalaman. Namun, kami mampu berada di tangga pertama dalam tempoh yang lama sehinggalah Imigresen muncul juara,” jelasnya.
Harini FT berjaya membuka tirai jaringan menerusi Noshahrul Idlan Talaha pada minit ke-25 namun keadaan itu tidak lama apabila mereka segera menyamakan kedudukan menerusi Rafie Mat Yaacob.