PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain kelihatan seolah-olah sudah berputus asa dengan masalah dalaman yang melanda pasukannya dan dia tidak tahu sampai bila mereka mampu bertahan untuk menghadapi situasi sebegini.
Sang Kenari tewas kali kedua berturut-turut dalam tempoh empat hari dan kali ini tunduk kepada Selangor FC 1-0 di hadapan penyokong sendiri dengan aksi kurang bermaya ditunjukkan para pemain sepanjang 90 minit permainan.
“Saya rasa dalam situasi begini, kita pemain dan pegawai sudah tidak mampu untuk bertahan kerana kita tidak tahu berapa lama masalah ini akan selesai dan sebagai jurulatih ini adalah tugas yang sangat sukar dan saya perlu berikan penghargaan kepada pemain yang masih setia bersama pasukan,” katanya.
Nafuzi turut mengakui masalah kecergasan dan persediaan yang kurang sempurna menjadi faktor utama kekalahan Kedah dan tempoh rehat ini akan digunakan untuk membentuk semula pasukan.
“Apa yang saya nampak, kita kurang dari segi persediaan terutama faktor kecergasan dengan pasukan lawan mempunyai kelebihan dalam pelbagai segi namun pemain telah melakukan tugas mereka dengan baik.
“Selangor menekan kita dengan begitu berdisipin dan ini menyukarkan bahagian tengah untuk mencipta peluang selain sikap gopoh yang menyebabkan kita mudah kehilangan bola dan membuatkan kita lebih penat,” jelasnya.
Rentak longlai yang dipamerkan pemain mungkin senada dengan rayuan Nafuzi yang mahukan kata putus dari pengurusan Kedah agar segala masalah terutama pembayaran gaji dapat diselesaikan segera bagi memastikan pasukan dapat kembali memberikan saingan dalam Liga Super dan Piala Malaysia yang bakal berlangsung.
Kekalahan ini menyaksikan Kedah kekal di tangga kesepuluh liga dengan 13 mata selepas berakhir 14 perlawanan dan akan menunggu siapakah bakal lawan mereka dalam Piala Malaysia yang akan bermula pada 24 November 2024.