PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting beranggapan pasukan kebangsaan perlu membawa sikap positif ke Kyrgyzstan.

Baginya, sikap positif yang tersemai dalam pasukan kebangsaan mampu membuatkan mereka mencipta kejutan dan memenangi perlawanan yang sukar.

“Jelas sekali, ia adalah perlawanan penting bagi kami. Jadi kami cuba mengekalkan mood yang positif dan membawanya ke perlawanan pertama di Kyrgyzstan.

“Kita tidak boleh pergi sana dan berfikir bahawa kita akan kalah. Sudah tentu, kami mahu memenangi setiap perlawanan jadi kita perlu pergi sana dengan mood yang positif.

“Kami telah bekerja keras dalam latihan minggu ini. Sekarang, kesemua pemain bersama-sama dalam kem latihan. Jadi kami boleh bersungguh-sungguh dan mengusahakan taktik yang diberikan oleh jurulatih kepada kami.

“Saya yakin jika kami beraksi dengan baik, kami mampu memenangi perlawanan dengan Kyrgyzstan di tempat lawan,” katanya kepada media sebelum sesi latihan hari ketujuh skuad kebangsaan pada Ahad.

Dion Cools antara pemain yang baharu sahaja menyertai skuad kebangsaan

Daniel yang sudah mempunyai tujuh penampilan bersama Harimau Malaya juga tidak kisah jika beliau diminta oleh Kim Pan-gon untuk bermain di posisi yang lebih menyerang.

“Kita perlu menggantikan pemain sayap. Jelas sekali, dua pemain utama di posisi itu tidak bersama di sini.

“Tetapi jika jurulatih mahu saya bermain di posisi itu sudah tentu saya akan bermain dan buat yang terbaik di posisi itu.

Daniel Ting dan Stuart Wilkin antara pemain Sabah yang terlibat dalam kem latihan kebangsaan kali ini.

“Saya telah memainkan peranan yang lebih menyerang bersama pasukan Sabah. Tetapi kami juga mempunyai pemain lain termasuklah beberapa pemain muda yang datang. Jadi saya rasa kita ada banyak pilihan yang datang untuk menggantikan pemain yang tidak dapat datang disebabkan kecederaan,” tambahnya lagi.

Skuad negara bakal mengharungi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun dan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024 ini.