PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui kegagalan pasukannya membunuh permainan lebih awal menjadi punca Gergasi Merah kehilangan dua mata selepas terikat 1-1 dengan PDRM FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Selangor mendahului seawal minit ke-15 menerusi jaringan Alvin Fortes namun gagal menambah jaringan untuk mencipta kemenangan sebelum Aremu Timothy menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak kedua untuk mencuri dua mata.
Dalam empat perlawanan terakhir, Selangor hanya mampu menjaringkan satu gol dalam setiap perlawanan dan kehilangan mata dalam dua aksi di Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC 2.
“Kita sepatutnya ‘kill the game’ lebih awal tetapi kita tidak dapat sudahkan peluang yang ada dan kita perlu perbaiki perkara ini kerana meskipun satu mata itu lebih baik dari tiada mata tetapi kami tidak gembira dengan keputusan ini.
“Ramai yang menjangkakan Selangor untuk menang atau menjaringkan gol yang banyak tetapi isu sekarang kita gagal kekalkan kelebihan selepas mendahului dan kita sepatutnya bunuh perlawanan lebih awal dan sedikit kesilapan kami dihukum,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas pemain Selangor itu turut mengakui pasukannya sentiasa berada di dalam tekanan meskipun tanpa perlawanan dan para pemain sudah biasa tentang perkara ini menjelang dua perlawanan menentang Jeonbuk Hyundai Motors dan Johor Darul Ta’zim.
“Di Selangor tanpa ada perlawanan pun memang tertekan tetapi kami akan hadapi dua perlawanan ini dengan gembira kerana bukan mudah untuk mendapat peluang berhadapan antara kelab terbaik di Korea sebelum bertemu kelab terbaik di Malaysia,” jelasnya.
Selangor gagal merapatkan kedudukan dengan pendahulu, JDT di takhta liga selepas keputusan seri ini dengan ketinggalan lima mata selepas berakhir 12 perlawanan pusingan pertama.