KETIKA Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka pintu buat pemain profesional menyertai latihan bersama, namun belum ada mana-mana pemain mahupun jurulatih dari kelab profesional, menunjukkan minat.
Hal itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky yang belum dihubungi mana-mana pihak baik kelab, jurulatih atau pemain profesional sendiri.
“Kita sudah ‘open’, asyik tanya kita macam mana. Belum ada sesiapa hubungi saya beritahu nak datang.
“Jangan cakap ‘benefit‘ kepada siapa, ini demi kebaikan kepada Malaysia. Jadi kita buka sahaja,” kata Rexy ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pagi tadi.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengenai kerjasama Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dengan pemain profesional.
“Di Indonesia juga sama, ada pemain profesional dan kebangsaan dan mereka mahu membantu sesama sendiri, jadi sudah tentu ia memanfaatkan kedua-dua pihak.
“Jika kita lihat pemain beregu profesional Malaysia seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, mereka boleh membantu pemain BAM malah di BAM ada Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga juara dunia, sudah tentu latihan bersama akan memanfaatkan Yew Sin-Ee Yi juga.
“Apabila ada pemain profesional nak datang, kita akan aturkan tempat latihan dan rakan ‘sparring’,” kata Rexy.
Pemenang pingat emas Olimpik Atlanta itu berkata, Hendra Setiawan-Muhammad Ahsan juga pemain profesional, mempunyai penaja sendiri namun tiada masalah menjalani latihan di kem nasional.
ARTIKEL BERKAITAN : BAM tawar pemain profesional berlatih di ABM setiap Rabu, Jumaat
“Mereka (Henda dan Ahsan) tahu tanggungjawab mereka membantu pemain muda yang akan meraih pengalaman daripada mereka, sebab itu pemain Indonesia cepat belajar,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, hanya Tan Boon Heong yang sudi berlatih bersama skuad kebangsaan dan setakat ini sudah tiga kali hadir ke ABM.