TULAR satu video di media sosial selepas perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang membabitkan antara pemain dan penyokong.

Berlaku sedikit ketegangan melibatkan ketua pasukan SFC, Safuwan Baharudin yang dimaki penyokong sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Flash Sukan difahamkan ia bermula akibat kegagalan benteng pertahanan kelab itu mempertahankan kubu sehingga tamat permainan apabila dibolosi oleh jaringan Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin pada masa tambahan.

Walaupun Merah Kuning mencatat keputusan besar 4-1, penyokong seolah tidak menerima hakikat dan tonggak utama pasukan Singapura itu menjadi sasaran makian sehingga menyebabkan Safuwan tidak berpuas hati dengan tindakan penyokong terbabit.

Kata-kata kesat seorang penyokong di stadium itu sempat dirakam sebelum video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

“Selagi kapten pasukan, Brendan Gan tidak berada di atas padang, saya akan cuba menjaga rakan-rakan sepasukan di dalam mahupun di luar padang. Tetapi jika insiden (dimaki dengan carutan oleh penyokong) seperti semalam terjadi, ia memang agak mengecewakan bagi saya.

“Perkataan yang keluar dari mulut anda, melambangkan banyak perkara bagi diri anda sebagai seorang manusia.

“Ayuh kita lupakan mulai sekarang, tetap sokong pasukan walau apa pun yang terjadi. Di hujung nanti, kita tetap masih manusia. Jadi positif. Saya maafkan anda,” kata Safuwan di laman Instatorynya.

Bagaimanapun, sikap kesukanan positif dipamerkan Safuwan wajar dipuji apabila kekal tenang dan sanggup memaafkan penyokong berkenaan serta berharap peminat terus memberi sokongan kepada pasukan selepas ini.