PEMAIN tengah skuad Harimau Malaya, Paulo Josue menganggap bahawa perbuatan ‘gila’ yang dilakukan oleh segelintir individu tidak bermoral ini bukan mudah untuk dihidu.
Hal ini susulan kejadian tragis yang menimpa rakan sepasukannya, Faisal Abdul Halim yang disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali sehingga menyebabkan kecederaan serius pada bahagian badan belah kiri beliau.
Menurut Paulo, perkara jenayah seperti ini perlu dicegah lebih awal oleh pihak berkuasa dan berharap agar pelaku kes Faisal Halim dapat segera dihukum.
“Apa yang saya baca, Faizal sedang berada di sebuah pusat beli belah dan seseorang telah menyerangnya dengan menyimbah asid. Jadi, bagaimana kita nak menjangka perkara ini? Kita tidak boleh jangka kerja ‘gila’ orang di luar sana.
“Faisal seorang bintang di Malaysia. Seperti saya, saya bukan seorang yang popular di sini, jadi saya tidak begitu khuatir dengan keadaan sekeliling saya. Saya lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Meskipun begitu, saya tetap akan berhati-hati selepas ini.
“Bagaimanapun, saya berharap agar Faisal dapat sembuh dengan segera,” ujanya ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Isnin.
Tambah Paulo, dirinya juga berharap agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi dan pemain-pemain yang terlibat dalam insiden buruk dapat kembali bangkit dan terus bersemangat seperti sedia kala.