KETIKA hangat kisah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dipecat daripada parti politik yang disertainya, timbul pula persoalan baharu mengenai masa depannya yang melibatkan arena bola sepak tempatan.

Terbaharu, perkongsian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di ruangan Instastorynya menarik perhatian sekaligus menambahkan lagi desas-desus bekas Ahli Parlimen Rembau itu kembali aktif menyertai sukan nombor satu negara ini.

Tunku Ismail menulis “Future JDTFC CEO and Johor Youth advisor” disertai gambar mesra mereka berdua mencetuskan kehangatan di malam minggu para peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.

 

Beliau turut memuat naik hantaran di laman sosial rasmi dirinya dengan kapsyen “Berpengalaman, terbukti, kenapa tidak…” yang semakin menguatkan lagi berita KJ akan menyertai barisan pengurusan atasan Johor Darul Ta’zim (JDT).

TMJ dan KJ, dua figura penting dalam sukan negara adalah antara individu yang sering disebut oleh peminat sukan tanah air supaya mereka mengambil alih urusan pentadbiran sukan berdasarkan rekod cemerlang yang pernah dicapai.

Sebut sahaja tentang JDT dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), pastinya dua nama ini akan menjadi sebutan sekaligus menggambarkan kaliber yang ada pada kedua-dua tokoh ternama ini.

Apa yang menarik, banyak persamaan yang dapat dilihat antara TMJ dan KJ dengan salah satu persamaannya ialah kedua-dua mereka adalah anggota tentera berpangkat tinggi yang mementingkan disiplin, satu elemen yang penting dalam sukan bola sepak.

Kedua, mereka berdua juga adalah ahli sukan profesional yang aktif dalam sukan polo ditambah pernah dan masih memegang jawatan penting dalam persatuan sukan yang faham tentang selok belok pengurusan persatuan mahupun kelab serta pembangunan akar umbi bola sepak.

Dari sudut perhubungan antarabangsa pula, KJ bukanlah nama baharu yang perlu diperkenalkan di arena sukan selepas kejayaannya mempengerusikan kegemilangan Sukan Sea ke-29 yang dianjurkan Malaysia pada 2017.

Pengalaman KJ sebagai Menteri Belia Dan Sukan juga boleh digunakan oleh Tunku Ismail untuk membantu membangunkan infrastruktur dan memahami kehendak para belia Negeri Johor yang bakal menjadi aset masa depan negeri dan juga negara.

Hubungan rapat kedua-dua figura ini sejak dahulu terutama ketika Tunku Ismail memegang tampuk kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin bakal berulang tetapi kali ini di peringkat kelab dan jika ianya menjadi kenyataan, pasti satu kekuatan baharu yang dapat diperolehi Harimau Selatan.

Yang pasti, arena sukan negara dan juga tidak terkecuali skuad Harimau Malaya tentunya akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini sama ada dari sudut komersil, profesionalisme mahupun politik dan hubungan antarabangsa.