SKUAD Kuala Lumpur City FC yang sudah ditarik balik sekatan perpindahan pemain oleh Fifa kini akan menandatangani sekurang-kurangnya tiga pemain import di setiap posisi untuk menambah kekuatan sedia ada dalam pasukan.
KL City kehilangan banyak pemain ketika jendela perpindahan pertama musim ini ekoran beberapa masalah tunggakan gaji yang menimpa pasukan namun perkara itu sudah menjadi sejarah dan mereka kini dalam proses untuk membina semula pasukan.
Bagaimanapun mereka masih diperkuatkan oleh pemain-pemain utama seperti Paulo Josue, Giancarlo Gallifuoco, Zhafri Yahya serta berjaya mendapatkan khidmat Brendan Gan dan penjaga gol berpengalaman, Hafizul Hakim.
Pengendali baharu, Miroslav Kuljanac mengesahkan perkara ini ketika ditemui FLASH SUKAN dan dia juga mahu pemain-pemain utama ini menjadi contoh yang baik kepada pemain muda yang dibawa masuk ke skuad utama.
“Kami sedang melihat untuk meletakkan seorang pemain antarabangsa di posisi pertahanan, tengah dan serangan dengan menambah lebih kualiti dalam pasukan kerana untuk beraksi di tahap ini, kami perlukan lebih ramai pemain berkualiti.
“Pemain-pemain senior juga diharap dapat membantu pemain muda terutama dalam pembuatan keputusan dalam padang kerana berdasarkan perlawanan ujian, dapat dilihat mereka terlalu gopoh dalam membuat keputusan tetapi mereka perlu belajar dari kesilapan ini.
“Saya juga mahu menggunakan corak permainan yang lebih menunjukkan penguasaan bola tetapi dalam keadaan yang tenang dan tidak terlalu cepat menggerakkan bola terutama di bahagian serangan,” katanya.
Kuljanac juga mahu memastikan dia mempunyai skuad yang besar bagi memudahkannya melakukan penggiliran pemain kerana KL City bakal beraksi dalam empat kejohanan untuk musim 2024-25 – Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan AFF Shopee Cup.