PASUKAN Kuala Lumpur (KL) City FC cemerlang dalam aksi menentang Sabah FC pada malam Rabu, sekali gus menyaksikan keputusan 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kedua-dua pasukan tampil dengan aksi yang penuh rancak pada awal 20 minit permainan, dan situasi selepas itu menyaksikan The City Boys lebih mendominasi bola sekali gus menagih jaringan pertama mereka.
KL City bagaimanapun terlepas peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan selepas sepakan penalti yang diambil oleh Paulo Josue pada minit ke-45 dapat diselamatkan oleh penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat.
Namun dengan sekelip mata, tandukan tidak diduga oleh pemain Sabah FC, Kwang Min Ko terus meluru masuk ke dalam gawang golnya sendiri sekali gus menghadiahkan jaringan percuma buat tuan rumah.
Aksi separuh masa pertama terikat dengan keputusan 1-0 iaitu berpihak kepada KL City FC. Misi kebangkitan oleh Sabah FC pastinya dijangka oleh skuad Miroslav Kuljanac pada babak kedua, meskipun mereka terpaksa bermain hanya 10 orang.
Bersambung separuh masa kedua, cubaan demi cubaan dilakukan oleh skuad KL City FC dalam ruang untuk memanfaatkan kekurangan pemain pihak lawan. Paulo akhirnya hadir memberi gol kedua buat pasukan, setelah sepakan percuma pada minit ke-60 membolosi gawang Sabah.
Kehadiran seramai 1,029 penonton di Cheras tidak begitu memberi ketegangan kepada pemain Sabah FC, malah beraksi seramai 10 pemain juga tidak menidakkan semangat juang yang dipamerkan oleh pasukan kendalian Ong Kim Swee.
KL City tampak benar-benar menggunakan peluang yang terbentang setelah Zhafri Yahya muncul wira seterusnya yang berhasil menjaringkan gol ketiga buat The City Boys pada minit ke-87 perlawanan, sekali gus menjadikan keputusan 3-0 berakhir di laman Stadium Bola Sepak Cheras.