MASALAH tunggakan gaji yang semakin menemui jalan penyelesaian oleh pengurusan baharu diterima positif oleh pemain-pemain Kuala Lumpur City FC apabila menghadiahkan tiga mata penuh selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC 1-3 dalam aksi terakhir pusingan pertama Liga Super.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu, KL City beraksi sebagai pasukan pelawat ekoran keadaan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu masih dalam proses naik taraf berjaya bangkit dari ketinggalan untuk membawa pulang mata penuh.
Gol skuad Warga Kota dijaringkan Nick Swirad dan kapten, Paulo Josue dengan dua gol pada penghujung babak kedua untuk memadam kelebihan awal Kelantan DN yang mendahului menerusi jaringan pemain import, Washington Brandao.
Aksi separuh masa pertama agak hambar dengan kedua-dua pasukan masih mencari rentak permainan selepas liga berehat selama tiga minggu bagi memberikan laluan kepada aksi pasukan kebangsaan di kalendar Fifa.
Kesilapan penjaga gol KDN, Fikri Che Soh yang gagal menumbuk bola keluar memberikan kesempatan buat Nick Swirad untuk menjaringkan gol pertamanya bersama KL City musim ini.
Paulo Josue membuktikan dirinya sebagai kapten fantastik apabila dua jaringan menariknya menggembirakan lebih 800 orang penyokong yang hadir ke stadium di hadapan barisan exco baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Kemenangan ini menyaksikan KL City naik ke posisi ketujuh liga dengan 14 mata dan mereka dijangka akan melakukan rayuan pemotongan enam mata yang dijatuhkan First Instance Body (FIB) bagi mengukuhkan kembali kedudukan dalam Liga Super manakala KDN pula kekal di tangga ke-12 dengan enam mata.