HANYA satu langkah buat Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum bergelar juara dan menyamai rekod Johor Darul Ta’zim yang turut pernah menjuarai Piala AFC pada 2015 menumpaskan kelab Tajikistan, Istiklol dalam perlawanan akhir.

Bekas pertahanan Johor, Wan Jamak Wan Hassan yakin Kuala Lumpur City mampu cipta sejarah membenam kelab dari Oman, Al Seeb dalam aksi final Piala AFC 2022.

Ditambah dengan bermain di tempat sendiri, KL City FC sudah tentu mempunyai ramuan ampuh bagi mencatatkan sejarah menjadi pasukan kedua merangkul kejuaraan tersebut selepas Johor Darul Ta’zim.

“Kita mengharapkan dan kita berdoa semoga Kuala Lumpur dapat menjuarai kejohanan ini dan seterusnya melangkah ke Liga Juara-Juara (ACL).

“Saya lihat KL City FC begitu bersemangat dan kejayaan mereka bukan datang dengan mudah.

“Sudah pasti peluang ini akan diambil sepenuhnya lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri.

“Saya yakin dengan pemain Kuala Lumpur yang ditambahkan taktikal dengan baik oleh Bojan Hodak dan sudah semestinya tidak mahu mengecewakan peminat pada tahap ini dan saya jangka mereka dapat menjadi juara,” kongsinya bersama wartawan FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, Wan Jamak memuji pengendali kelab KL City FC, Bojan Hodak kerana berjaya menjulang kembali nama pasukan Kuala Lumpur dengan yang terkini merangkul Piala Malaysia menewaskan gergasi Asia Tenggara, Johor Darul Ta’zim.

Bagaimanapun, dia tidak mengetahui dengan terperinci kekuatan lawan yang bakal ditentang kerana ia merupakan pertembungan pertama antara kedua-dua pasukan di peringkat Asia.

Cadangannya adalah Kuala Lumpur mungkin boleh memasang mata-mata bagi menganalisis corak permainan lawan memandangkan inilah peluang terbaik Kuala Lumpur City FC menutup kritikan yang peminat yang meragui kemampuan pasukan.

“Kita pun tidak tahu bagaimana kekuatannya, bagaimana kelemahannya. Mungkin pasukan Kuala Lumpur telah menghantar recce atau pembantu ke sana untuk melihat kekuatan dan kelemahannya.

“Kalau kita lihat tahun lepas, Bojan Hodak membawa Kuala Lumpur merangkul Piala Malaysia. Walaupun dalam liga kedudukan pasukannya tidak begitu baik.

“Tetapi dengan kejayaan di peringkat AFC, dia telah membuktikan naluri kemenangan itu ada padanya,” ujarnya.