FINALIS Piala FA 2023, Kuala Lumpur City FC telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan kelab La Liga Sepanyol, Cadiz CF pada Isnin yang akan melibatkan kerjasama kedua-dua belah pihak dalam beberapa perkara yang memberi manfaat buat kedua-dua pihak.

Antara manfaat yang bakal diperolehi KL City termasuklah peluang ke Sepanyol untuk menjalani latihan pra-musim di fasiliti Cadiz CF serta mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan pertama kelab Sepanyol itu.

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard Samuel manakala Cadiz CF pula diwakili oleh Pengarah Operasinya, Jose Luiz Donoso Alvarez sambil dipengerusikan oleh Adrian Prol Vazquez, wakil La Liga di Malaysia.

Stanley Bernard

Stanley menyatakan bahawa kerjasama ini adalah peluang luar biasa bagi Kuala Lumpur City FC untuk mempelajari amalan terbaik dari pasukan yang bersaing di salah satu liga terkemuka di dunia.

“Ini adalah manfaat yang bernilai dalam memberikan pendedahan kepada para pemain dan jurulatih kami kepada program latihan dan kursus pengurusan bola sepak yang dianjurkan sama ada di Malaysia atau Sepanyol,” katanya.

Sementara itu, pemilik bersama Cadiz CF, Ben Harburg pula menyatakan bahawa kelab itu kita mempunyai fokus di Asia Tenggara dan Kuala Lumpur adalah platform terbaik untuk melakukannya.

“Cadiz mempunyai fokus strategik di Asia Tenggara dan kami percaya bahawa kerjasama bersama KL City merupakan langkah pertama yang penting bagi memperkenalkan pasukan kami di dalam pasaran Malaysia.

“Kami tidak sabar untuk melihat pemain-pemain mereka bersama kami di Sepanyol dan pada waktu yang sama, kami berhasrat untuk membawa pasukan kami ke rantau ini dalam waktu yang terdekat,” katanya.

Kedua-dua kelab itu juga akan berusaha untuk mempromosikan jenama dan imej masing-masing di Sepanyol dan Malaysia serta meneroka kerjasama lain yang dapat memberikan manfaat komersial kepada kedua-dua pihak.

“Dari pihak La Liga, kami ingin melihat lebih banyak kehadiran kelab dari Sepanyol di rantau ini. Dalam hal ini, ianya berhubungan antara Cadiz CF dan Kuala Lumpur City FC.

“Mempromosikan bola sepak ke seluruh dunia adalah antara objektif utama yang telah ditetapkan oleh La Liga sebagai salah satu bahagian penting daripada strategi pengantarabangsaan kami, dan perjanjian kerjasama ini adalah salah satu contoh yang terbaik ke arah objetif tersebut,” kata Adrian Prol, wakil La Liga di Malaysia.

Pemegang saham majoriti KL City FC, Azri Datuk Seri Azerai telah menyatakan bahawa kerjasama ini juga adalah kerjasama yang pertama daripada pelbagai lagi kerjasama yang akan dilakukan oleh KL City FC di seluruh dunia dengan tujuan untuk meningkatkan nilai jenama KL City FC.