KEHADIRAN Brendan Gan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC telah meraih perhatian penyokong-penyokong bola sepak tanah air.

Bagi penaung kelab, Fahmi Fadzil turut gembira dengan kehadiran pemain berusia 36 tahun itu sekaligus berjaya melengkapkan penghijrahannya ke KL City dengan bantuan daripada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard.

Fahmi turut menegaskan bahawa kedatangan Brendan ke dalam skuad The City Boys diharap agar dapat memberi satu aura positif terutama dalam menyuntik semangat yang lebih tinggi kepada para pemain KL City yang lain.

Pasukan Kuala Lumpur City FC 2024.

“Malam ini (Isnin) cukup membanggakan kerana ini malam pertama buat Brendan Gan di KL City. Malam ini juga adalah satu permulaan baharu buatnya.

“Saya percaya keberadaan Brendan ini akan bantu menambah dan membakar lagi semangat rakan-rakan sepasukan bagi membuat persediaan terbaik menjelang saingan bola sepak yang bermula pada 10 Mei nanti.

“Tahniah dan terima kasih juga kepada Stanley yang telah berjaya mendapatkan persetujuan dan terjadinya satu perjanjian yang telah ditandatangani,” ujar beliau ketika ditemui semasa sesi latihan pertama Brendan Gan bersama KL City FC.

Brendan mula menjalani latihan bersama pasukan.

Dalam perkembangan sama, Fahmi mendedahkan bahawa dia begitu optimis dalam memastikan pasukannya berjaya meraih pramusim yang sempurna sebelum mulanya aksi bola sepak musim 2024-2025.

“Saya akan memastikan semua keperluan KL City dapat diuruskan dengan baik. Baru-baru ini, saya juga ada bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi membincangkan perjanjian komersial antara Dewan Bandaraya KL (DBKL) dan KL City.

“Saya percaya dalam tempoh masa beberapa minggu ini, pasukan akan bersedia sepenuhnya menjelang saingan musim 2024 sejurus menjadi pasukan terbaik pada saingan yang akan bermula ini,” katanya.